Belum sedia biar pelanggan makan di restoran

SEORANG pemilik restoran dekat Slim River tetap meneruskan jualan makanan secara bungkus untuk dibawa pulang, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pelanggan dibenarkan menikmati makanan di restoran itu.

Mohd Ghazali Yusoof, 36, berkata, belum bersedia membenarkan pelanggan makan di restoran itu bagi menjamin keselamatan pekerja dan pelanggan.

Katanya, biasanya selepas Hari Raya Aidilfitri , ramai pelanggan akan datang menikmati makanan di restoran selepas sebulan berpuasa.

“Saya bimbang, kalau saya benarkan pelanggan makan di restoran ini , tentu ramai akan mengambil peluang makan di sini dan tentu sukar untuk saya mengawal karenah pelanggan nanti.

“Apabila ramai pelanggan , sudah tentu ada segelintir yang tidak mematuhi peraturan PKPB nanti dan kesannya kepada pemilik restoran di mana akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui, dekat Slim River, hari ini.

Ketika tempoh PKPB, pemilik kedai makan wajib memastikan pelanggan masing-masing mematuhi penjarakan sosial sekurangnya satu meter dan hanya empat pelanggan dibenarkan duduk semeja.

Pihak polis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kedai makan , sekiranya pelanggan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKPB.

Mohd Ghazali berkata, walaupun ramai pelanggan yang menegur beliau apabila beliau masih menjual makanan secara bungkus untuk dibawa pulang, namun beliau tetap teruskan cara jualan ini.

Katanya, beliau perlu mengambil tempoh seminggu lagi untuk membenarkan pelanggan menikmati makanan di restoran ini.

“Bukannya mudah untuk susun atur dalam restoran kembali kerana apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Saya telah ubah suai dalaman restoran untuk mudahkan urusan jual secara bungkus.

“Jadi, buat masa ini biarlah saya kekal jualan secara bungkus dan rata-rata pelanggan menyokong tindakan saya ini dalam mencegah dan mengekang rantaian wabak Covid-19,” katanya.

Katanya, restoran makanan ini beroperasi sejak 50 tahun dahulu dan beliau mewarisi daripadadan tetap bersyukur dan gembira merayakan Aidilfitri di negara ini bersama lapan orang pekerjanya, walaupun di India hari ini baru merayakan Aidilfitri.