Belum ada tangkapan

BELUM ada tangkapan ke atas individu yang membuat kenyataan jelek di Facebook susulan keputusan membenarkan 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid di Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, ketika dihubungi memaklumkan siasatan masih dijalankan berhubung isu berkenaan.

“Belum (suspek belum ditahan). Masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, membuat laporan polis berhubung kenyataan jelek pemilik akaun Facebook susulan keputusan membenarkan 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid.

Tosrin berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berikutan tindakan itu dilihat secara tidak langsung mengancam keharmonian masyarakat.

Katanya, kenyataan itu memberi gambaran seperti penghinaan kepada agama Islam dan pengingkaran titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Sebelum ini, tular di laman Facebook di akaun milik individu memuat naik status Friday Matinee ’12 Monkey’. Coming show on J.Cinema yang dipercayai dimuat naik pada 13 Mei lalu.

Berita berkaitan

• Tunggulah polis datang kutip