Beli stok seminggu elak kerap keluar rumah

BELI bekalan makanan dan keperluan asas untuk seminggu terutamanya barang basah.

Itu langkah diambil orang ramai bagi mengelakkan mereka kerap keluar daripada rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu diakui jurutera, Mohamad Rais Dahalan, 49, yang berkata, dia hanya keluar seminggu sekali bagi membeli barang basah dalam kuantiti banyak bagi mengelak keluar rumah terlalu kerap.

“Saya sudah jangkakan pengumuman Perdana Menteri mengenai PKP dilanjutkan. Disebabkan itu, saya sudah menyediakan keperluan asas sehingga hujung bulan ini.

“Cuma bagi barang basah seperti sayur, ikan dan lain-lain, ia tidak dapat disimpan bagi tempoh lama. Jadi, saya beli stok setiap minggu berbanding setiap hari sebelum ini bagi mengelakkannya rosak sekali gus tidak perlu keluar rumah terlalu kerap.

“Mengenai persiapan menyambut Ramadan pula masih terlalu awal dan tiada apa-apa persiapan sangat pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya, di Kajang, hari ini.

(DARI kiri) S Clement, Mohamad Rais dan Vella Vamella. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
(DARI kiri) S Clement, Mohamad Rais dan Vella Vamella. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

Seorang penuntut universiti, Vella Vamella, 19, berkata, dia yang tinggal bersama kakaknya akan membantu membeli bekalan makanan setiap dua minggu.

“Memandangkan ketika ini sesi pembelajaran dilakukan secara dalam talian, saya boleh membantu kakak untuk membeli bekalan makanan basah.

“Buat masa ini, tiada masalah untuk membeli bekalan makanan dua minggu sekali, namun saya bimbang keadaan akan sesak menjelang Ramadan nanti,” katanya yang juga warga Indonesia.

Sementara itu, juruteknik, S Clement, 48, berkata, dia hanya akan membeli barang keperluan dalam kuantiti yang sedikit bagi mengelakkan pembaziran.

“Saya tidak mahu membeli barang secara panik kerana masih banyak bekalan makanan dan keperluan asas di semua pasar raya atau pasar basah.

“Jadi, saya hanya membeli barang yang perlu sahaja dalam kuantiti mencukupi, namun pada masa sama jumlah dibeli cukup untuk bagi tempoh seminggu bagi mengelakkan keluar rumah terlalu kerap,” katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa pasar raya di sekitar Kajang mendapati jumlah orang ramai membeli bekalan makanan dan keperluan asas tidak begitu tinggi.

Malah, semua pengunjung pasar raya juga mengikuti arahan ditetapkan termasuk memakai topeng muka dan menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP fasa kedua yang tamat pada 14 April dilanjutkan sehingga 28 April nanti.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan