Bekas Timbalan Menteri beri keterangan

BEKAS Timbalan Menteri sudah dirakam keterangan berhubung penyebaran berita palsu kononnya berlaku situasi luar kawalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, baru-baru ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan tindakan itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Rakaman percakapan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang jam 9 malam.

“Satu telefon dan kad sim turut dirampas daripada Ahli Parlimen itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Ahli Parlimen terbabit disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian serta menyebabkan ketakutan awam.

“PDRM dan SKMM memantau penyebaran berita palsu terhadap mana-mana pihak termasuk orang kenamaan, pengamal media dan media dalam talian yang menyebarkannya ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Orang ramai yang ragu mengenai kesahihan sesuatu berita boleh melayari laman sesawang sebenarnya.my atau salurkan maklumat di laman sesawang https://sebenarnya.my/salur,” katanya.

Berita berkaitan

• Buka kertas siasatan terhadap bekas Timbalan Menteri

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan