Bayi dicampak dipindah ke wad biasa

BAYI perempuan yang dicampak oleh ibu kandungnya selepas dilahirkan dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru dekat Georgetown, Rabu lalu, dipindahkan ke wad biasa Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A Anbalagan berkata, bayi berusia enam hari itu sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan dipindahkan ke wad biasa kerana sudah stabil serta beransur pulih.

“Menurut doktor yang merawat bayi seberat 3.25 kilogram itu, dia beransur pulih namun masih memerlukan pemantauan pihak hospital sebelum mangsa dibenarkan keluar HPP,” katanya di sini.

Katanya, beliau turut membuat lawatan kebajikan ke atas bayi perempuan itu hari ini bersama pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Dalam kejadian Rabu lalu, polis menahan seorang remaja perempuan kerana mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat empat rumah flat didiami bersama keluarganya di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru dekat Georgetown.

Berita berkaitan

• Teman lelaki remaja campak bayi direman

• Teman lelaki kes remaja campak bayi ditahan

• Bayi dicampak cedera di otak

• Polis buru bapa bayi dicampak

• Campak bayi dari tingkat 4