Bantuan untuk Pak Berahim akan tiba

LELAKI orang kurang upaya (OKU) fizikal Ibrahim Shahid, 80, yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mendapat bantuan barangan keperluan harian dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, nama warga emas berkenaan yang tinggal di Kampung Kota Tampan, Lenggong berada dalam senarai penerima bantuan berkenaan.

Menurutnya, dia yang juga penerima bantuan berjumlah RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 1999 hanya menunggu masa untuk mendapat sumbangan itu.

“Selain agensi kerajaan, UMNO Bahagian Lenggong juga kerap memberi bantuan kepada Ibrahim yang mesra disapa Pak Berahim oleh penduduk setempat kerana dia tinggal bersendirian.

“Dia adalah penerima skim Elaun Pekerja Cacat dan kemudian ditukar kepada skim Bantuan Orang Tua sejak 2009 sehingga kini dengan kadar RM350 sebulan.

“Bantuan kepada Pak Berahim ketika pelaksanaan PKP bagi menangani penularan wabak Covid 19-ini juga ada, cuma belum sampai kepadanya setakat semalam,” katanya.

Shamsul Anuar yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, beliau juga sudah menghubungi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Perak untuk membantu warga emas itu.

“Mereka (JKM) memaklumkan akan berusaha membantu dengan sebaik mungkin bersama pihak berkaitan bagi memastikan keperluannya sepanjang tempoh PKP ini tidak terjejas,” katanya.

Pada masa sama, Shamsul Anuar turut meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000 untuk membaik pulih rumah warga emas itu terutama bahagian dapur dan bilik air.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan warga emas itu mendakwa menerima bantuan beras lima kilogram dan minyak masak daripada anak didiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan