Bantu rakyat terjejas, penanam sayur

YAYASAN Aman Kedah mengagihkan kira-kira tujuh tan sayur-sayuran dari Cameron Highlands, Pahang setiap minggu kepada golongan terjejas di Kedah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Operasinya Mohd Asri Omar berkata, pihaknya turut membeli 300 kilogram ikan kembung dan 100 ekor ayam setiap hari untuk membantu mereka yang terputus bekalan makanan.

“Kita tersentuh hati apabila mengetahui ada keluarga yang hanya makan nasi berlauk kangkung kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli lauk yang lain.

“Melalui sumbangan daripada syarikat korporat, badan berkanun dan orang perseorangan, kita ambil inisiatif mengagihkan barangan basah kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Asri berkata, sekurang-kurang 12 jenis sayuran termasuk tomato, terung, kailan, cili, timun, sawi dan kacang buncis diambil terus dari ladang.

Katanya, langkah itu bagi membantu petani Cameron Highlands yang ketika ini berhadapan dengan kesukaran memasarkan produk hasil tani mereka.

“Mereka menawarkan harga yang rendah kerana tahu program ini adalah bagi membantu masyarakat yang kekurangan bekalan makanan.

“Selain itu, kita juga mendapatkan bekalan sayur-sayuran daripada petani di sekitar Kedah yang turut berhadapan masalah memasarkan produk mereka,” katanya.

Katanya, sehingga kini seramai 9,000 keluarga menerima bungkusan barangan basah menerusi program ini dengan peruntukan berjumlah lebih RM300,000.

“Setiap keluarga yang dibantu menerima bungkusan barangan basah mengandungi enam jenis sayuran untuk menampung bekalan makanan mereka selama seminggu.

“Selain itu, kita juga memberi ikan kembung atau ayam mentah kepada beberapa keluarga berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan