Banjir kilat ketika berbuka puasa

HUJAN lebat selama dua jam menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah di Daerah Timur Laut di Georgetown, hari ini.

Antara kawasan yang ditenggelami air sejak 6.30 petang tadi itu adalah Jalan Kebun Lama, Kampung Masjid, Kampung Makam dan Jalan Makloom.

Manakala, kawasan paling teruk terjejas ialah Jalan P Ramlee yang dinaiki air setinggi 0.5 meter berikutan air dari Sungai Pinang yang melimpah.

Penduduk Jalan P Ramlee, Yusof Syarif, 57, berkata, dia sedang berbuka puasa bersama isterinya ketika itu dan hujan turun dengan lebat.

Katanya, seketika kemudian, air mula melimpah masuk ke perkarangan rumahnya.

“Syukurlah air tidak masuk ke rumah dalam saya jika tidak, waktu berbuka puasa hari ini pasti kelam kabut kerana hendak menyelamatkan barang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian itu, penduduk kampung dilihat membawa kenderaan mereka ke tempat yang lebih tinggi dan tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

Manakala, Pasukan Polis dan Pertahanan Awam (APM) bertindak menutup jalan berikutan paras air yang membimbangkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee juga turut melaporkan mengenai kejadian banjir kilat di Jalan Batu Gantung, Georgetown.

“Hujan lebat menyebabkan air berlumpur dan keruh mengalir ke rumah penduduk.

“Kami akan meminta MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) bagi membersihkan lumpur dan batu yang tersebar di jalan dari kerja tanah berhampiran kawasan ini,” katanya lagi.

Banjir dilaporkan surut pada 9 malam.