Bakar lemang ubat kerinduan

INGIN mengubat kerinduan kepada kampung halaman membuatkan Hud Abdul Aziz, 48, meneruskan aktiviti membakar lemang di kawasan perumahannya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, hari ini.

Bekas pesakit Covid-19 itu berkata, sudah menjadi tradisi keluarganya melakukan aktiviti membakar lemang setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Tidak sempurna rasanya menyambut Aidilfitri jika tidak ada aktiviti membakar lemang bersama keluarga tersayang.

“Walaupun tidak dapat pulang ke kampung di Perak tahun ini, aktiviti tetap diteruskan dan saya akan mengagihkan lemang yang siap dibakar kepada jiran tetangga,” katanya kepada Harian Metro.

Hud yang juga siak Surau At-Taqwa Taman Puncak Jalil, bersama beberapa ahli jawatankuasa lain membuat persiapan untuk menyediakan lemang itu seawal jam 10 pagi.

Katanya, kira-kira 80 batang lemang disediakan membabitkan kos RM1,300 yang dijangka siap dibakar malam ini.

“Lemang itu kemudian akan diagihkan kepada penduduk secara percuma malam ini dan pagi esok. Kita akan berikan kepada mereka yang belum ada lemang sebagai juadah di pagi Syawal,” katanya.

Berkongsi pengalaman sebagai pesakit Covid-19, Hud berkata, beliau dijangkiti wabak itu selepas menghadiri program keagamaan di Bangi, yang turut dihadiri peserta perhimpunan Masjid Seri Petaling.

Katanya, pada awalnya dia tidak mengalami sebarang simptom menyebabkan petugas kesihatan yang menjalankan saringan memintanya menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari.

“Selepas beberapa hari saya mula demam dan hilang selera makan lalu segera mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya sebelum disahkan positif Covid-19.

“Saya kehilangan berat badan sebanyak 12 kilogram akibat jangkitan itu. Saya bersyukur kerana masih berpeluang untuk sembuh dan berterima kasih kepada pihak hospital yang memberikan rawatan terbaik,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa untuk kekal di rumah kerana sesiapa saja boleh dijangkiti terutama warga emas dan kanak-kanak.