B40, OKU digesa mohon segera myFreeview

GOLONGAN B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) digesa membuat pendaftaran bagi menerima set dekoder myFreeview percuma sebelum 31 Mei ini di saluran yang disediakan.

Suruhanjaya Komunikasi dan dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya berkata, pendaftaran boleh dilakukan di laman sesawang www.mytvbroadcasting.my/B40 dengan mengisi maklumat lengkap peribadi.

“Setakat 25 Mei, seramai 152,276 individu dalam kalangan golongan B40 dan OKU sudah mendaftar.

“Dekoder percuma akan dihantar selepas tarikh tutup iaitu pada 31 Mei menerusi khidmat kurier secara berperingkat bermula Jun ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan 300,000 unit dekoder tambahan yang ditanggung kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

“MyFreeview adalah jenama platform TV digital tanpa bayaran bulanan menampilkan 15 saluran televisyen definisi tinggi (HD) dan enam saluran radio.

“Selain mendapat maklumat dan menikmati hiburan, saluran myFreeview juga memberi peluang kepada penonton dan peniaga untuk melakukan peluang perniagaan melalui saluran beli-belah dari rumah,” katanya.