Ayam mahal tetap tarik pembeli

HARGA ayam mahal RM9 sekilogram yang dijual di Pasar Besar Gua Musang tidak pernah berdepan pengurangan pembeli sejak bermula Ramadan lalu.

Ini kerana peniaga ayam segar itu tidak mempunyai persaingan di pasaran apabila mereka menjual harga sama.

Tinjauan mendapati, belum nampak berlaku pengurangan pembeli terhadap ayam segar itu dan tidak putus-putus sambutan orang ramai.

Seorang peniaga ayam segar, Jamilah Husin, 49, berkata, sejak dibangkit isu ayam mahal beberapa hari lalu ia tidak memberi kesan keatas pasarannya.

Sebaliknya, dia berkata, permintaan masih kekal tinggi berikutan keperluan bulan Ramadan dan mungkin terus meningkat menjelang persiapan Aidilfitri nanti.

Dia mengakui masih mampu menjual ayam segar antara 50 hingga 70 ekor sehari dengan harga RM9 sekilogram dan tertinggi sejak seminggu lalu.

“Kita serah kepada pembeli membuat perhintungan membeli ayam segar dengan harga lebih tinggi itu kerana musim ayam mahal.

“Kalau kita jual kurang daripada harga itu sudah tentu berdepan kerugian kerana kita ambil daripada pembekal juga berharga RM8.30 sekilogram,” katanya.

Seorang pembeli, Ismail Abdullah, 52, pula berkata, dia tidak ambil kisah sangat harga ayam segar itu dijual dengan harga mahal sikit.

Katanya, ini kerana di merata tempat harga ayam segar itu sama sahaja, lagipun keperluan pada Ramadan dan Aidilfitri pula tidak lama.

“Kalau harga turun Alhamdulillah, tetapi kalau ia kekal mahal terima sahaja kerana keperluan harian,” katanya.