Awas!

PENGGUNA jalan raya diminta berhati-hati ketika melalui jalan menghala ke Sekolah Kebangsaan Puteri Seremban, di Seremban, kerana berlaku mendapan dan rekahan pada jalan berkenaan, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, kejadian mendapan itu berlaku pada jam 2 petang.

Katanya, ia membabitkan laluan utama ke Taman Ko-op dan Taman AST.

“Saya menerima aduan daripada seorang pengawal keselamatan daripada syarikat sekuriti di kawasan berkenaan yang mula menyedari kejadian mendapan tanah itu.

“Saya percaya ada kemungkinan mendapan itu berpunca pergerakan air bawah tanah susulan hujan sejak beberapa hari lalu,” katanya selepas melawat lokasi kejadian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, setakat ini kakitangan MBS sudah mengambil tindakan awal dengan meletakkan penghadang jalan di lokasi berkenaan sebagai langkah keselamatan.

“Saya difahamkan MBS akan melakukan kerja pembaikan secepat mungkin atau pada esok hari kerana khuatir mendapan lebih serius boleh berlaku di situ susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Mereka akan bertindak secepat mungkin demi keselamatan pengguna,” katanya.