Awang Tengah diarah kuarantin diri

TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diarah menjalani kuarantin diri di rumah, bermula hari ini.

Beliau diarahkan berbuat demikian oleh Jabatan Kesihatan Negeri selepas salah seorang ahli Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19 yang hadir pada mesyuarat yang dipengerusikannya dua hari lalu, dilaporkan sah positif wabak itu.

Setiausaha Akhbarnya, Saiful Bahari berkata, Awang Tengah kini berada di rumahnya dan keadaannya dilaporkan baik.

“Saya berhubung dengan Datuk Amar (Awang Tengah) melalui telefon dan beliau memberitahu saya beliau dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, semua yang terbabit termasuk ketua-ketua jabatan dan petugas media yang berada dalam mesyuarat berkenaan juga diarah supaya turut melakukan kuarantin diri di rumah sebagai langkah keselamatan.

Saiful berkata, Awang Tengah juga memaklumkan bahawa ahli Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19 hanya perlu menyelia tugas melalui telefon bagi memastikan penduduk yang memerlukan khususnya di kawasan luar bandar mendapat bekalan.

Saiful berkata, ketika mesyuarat itu diadakan, beliau berada di bilik mesyuarat yang lain dan tiada kontak langsung dengan semua yang hadir, namun beliau juga menjalani kuarantin diri selama 14 hari demi keselamatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19