Anwar failkan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk semakan keputusan majoriti oleh Mahkamah Persekutuan yang enggan menjawab persoalan Perlembagaan yang dikemukakannya, berkaitan kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam permohonan yang difailkan bulan lalu melalui tetuan Chambers Leela J, Anwar mendakwa wujud ketidakadilan yang serius berikutan keputusan mahkamah yang enggan menjawab persoalan Perlembagaannya.

Beliau berkata, kerajaan selaku responden dalam kes itu, membuat keputusan bahawa prosiding sivilnya di Mahkamah Tinggi harus dibatalkan tanpa perlu didengar.

Dalam notis usulnya, Anwar berkata, terdapat juga pelanggaran rukun keadilan semula jadi yang serius kerana beliau tidak diberi hak untuk didengar berhubung isu itu sama ada persoalan Perlembagaan yang dibangkitkan adalah abstrak, akademik atau hipotesis.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, majoriti membuat keputusan berdasarkan isu yang tidak pernah dibangkitkan oleh kerajaan.

Anwar memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan majoriti itu dan mahu mahkamah mengeluarkan perintah yang wajar dan adil.

Pada 11 Februari, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab persoalan Perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai MKN.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata, ia tidak menunjukkan bahawa kewujudan MKN mengganggu kehidupan peribadi Anwar.

Beliau memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibatalkan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah (sekarang bersara) yang dalam kumpulan minoriti memutuskan MKN tidak berperlembagaan kerana ia tidak digubal mengikut keperluan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar memfailkan saman pemula pada 2016 untuk mencabar Perlembagaan MKN, apabila mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan. Beliau menamakan MKN dan kerajaan selaku defendan.

Pada 14 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan Perlembagaan.

Selain hakim Nallini, hakim lain yang membuat keputusan majoriti ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim (sekarang Hakim Besar Sabah dan Sarawak) serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun (sekarang Peguam Negara). – Bernama