Anugerah istimewa anak kembar

“AIDILFITRI kali ini paling istimewa dan seronok kerana dapat beraya bersama dua anak kembar,” kata Zarina Hanim Ismail ketika ditemui di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.

Zarina, 35, dan suaminya, Mohd Arif Kori, 35, pertama kali beraya bersama anak kembar mereka, Ismail Mohd Arif dan Ilyas yang berusia 90 hari hasil rawatan kesuburan persenyawaan tabung uji (IVF).

Katanya, dia dan suami sebelum ini sering tertekan kerana orang sekeliling sentiasa bertanya mengenai anak terutama ketika Aidilfitri.

“Kami berkahwin pada Ogos 2013 dan terpaksa menunggu lebih enam tahun untuk dikurniakan anak.

“Alhamdulillah rawatan IVF dijalankan berjaya dan dikurniakan dua anak kembar yang sihat.

“Seronok beraya pada tahun ini kerana biarpun terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiada lagi orang bertanya mengenai anak,” katanya yang juga peguam.

Menurutnya, pelbagai cabaran dihadapi sepanjang menjalani IVF, namun semuanya berbaloi apabila memperoleh anak kembar itu.

Katanya, sebelum menjalani IVF, pelbagai ikhtiar dan petua tradisional diamalkan untuk mendapatkan anak, namun tetap gagal.

“Paling pelik, petua meminum air rebusan lalang, namun saya tidak mengamalkannya kerana berasa ragu-ragu.

“Selepas menjalani rawatan IVF pada awal 2019 saya hanya memberi tumpuan kepada IVF dan akhirnya disahkan mengandung.

“Sudah pasti amat teruja menyambut Aidilfitri tahun ini apabila membuat persiapan raya untuk anak seperti menempah baju Melayu, tanjak dan capal untuk mereka,” katanya.