Anak buta ajar ayah al-Quran braille

DILAHIRKAN tanpa nikmat melihat, bukan halangan buat wanita dari Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus ini untuk membaca al-Quran, malah dia kini mampu menguasai mushaf itu dalam bentuk braille.

Nor Yusnita Mohamad, 30, juga menjadi guru al-Quran di Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) selain mengajar bapanya, Mohamad Awang, 65, menggunakan al-Quran braille.

Ketika ditemui di pejabat Pertis, Nor Yusnita berkata, sejak kecil dia gemar mendengar orang mengaji dan alunan ayat suci al-Quran, sekali gus menyimpan hasrat untuk membacanya satu hari nanti.

“Namun, masalah penglihatan menyebabkan saya berpandangan sukar untuk mencapai impian membaca al-Quran dan ia amat menyedihkan.

“Bagaimanapun, ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Chendering (SKPKC), saya diajar membaca al-Quran braille dan Alhamdulillah saya pupuk kesungguhan untuk menguasai bacaan sehingga mendalami kalam suci ini,” katanya yang mempelajari al-Quran braille pada usia tujuh tahun.

Akuinya, sukar untuk menguasai al-Quran braille dan dia sendiri pernah berputus asa.

“Sebab baris ayat dirasai dengan jari, ada kesukarannya tetapi berkat sabar, akhirnya saya mampu juga menguasainya,” katanya yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kini, Nor Yusnita turut mengajar bapanya yang hilang penglihatan sejak 2005 dan perlu membaca al-Quran braille.

Mohamad berkata, dia mempelajari al-Quran braille kerana tidak boleh lagi membaca al-Quran biasa disebabkan masalah rabun yang kritikal hingga penglihatan merosot.

“Pada mulanya tidak yakin juga untuk menguasai al-Quran braille, tetapi pembacaan secara berterusan membantu meningkatkan kebolehan saya membaca,” katanya.

Dia sangat bersyukur galakan dan dorongan diberikan supaya Nor Yusnita untuk mempelajari al-Quran menjadikan anaknya itu guru agama dan kini turut mengajarnya.