Ampun tuan… [METROTV]

“SAYA minta ampun tuan, saya tak mahu masuk lokap, saya sudah serik,” kata seorang lelaki yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, malam tadi.

Dalam pemeriksaan pada 12 tengah malam itu, lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan baru dua hari dibebaskan dengan jaminan mahkamah kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Bagaimanapun, lelaki terbabit memberi alasan baru pulang bekerja mengambil upah menjual buah selain mahu pulang ke rumahnya di Kuala Nerang untuk melihat adiknya yang baru bersalin.

Lelaki yang mempunyai isteri dan seorang anak itu dikatakan turut meronta-ronta meminta anggota polis melepaskannya ketika majikannya datang ke lokasi untuk melihat keadaannya.

Bagaimanapun, dia ditahan kerana melanggar PKP.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, secara keseluruhan seramai 11 individu yang kesemuanya lelaki berusia antara 20 hingga 49 tahun ditahan kerana ingkar PKP malam tadi.

Beliau berkata, semalam adalah hari keempat anggotanya melakukan sekatan pemeriksaan di lokasi sama namun masih ada yang ingkar dan memberi pelbagai alasan untuk dilepaskan.

“Selain itu kita turut menahan dua lelaki berusia 32 dan 34 tahun kerana memiliki dadah.

“Selain itu, seorang individu yang ditahan juga memiliki empat rekod lampau iaitu dua kes jenayah dan dua kes dadah,” katanya ketika ditemui.

Mohd Rozi berkata, operasi yang berakhir pada 2 pagi turut disertai dua pegawai 11 anggota.

Beliau berkata, dua individu yang ditahan akan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Kes mereka akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

“Bagaimanapun 11 yang ditahan kerana ingkar PKP akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Mohd Rozi berkata, sejak 18 Mac sehingga semalam, sebanyak 189 kes direkodkan membabitkan tangkapan mereka yang ingkar dengan PKP.

LELAKI yang baru dua hari dibebaskan kerana berkaitan kes dadah ditahan polis kerana ingkar Perintah an Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LELAKI yang baru dua hari dibebaskan kerana berkaitan kes dadah ditahan polis kerana ingkar Perintah an Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan