Amil tidak dibenarkan kutip zakat fitrah

AMIL tidak dibenarkan memungut zakat fitrah termasuk di lokasi tumpuan awam di seluruh negeri Johor.

Urusan pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan di pejabat daerah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) tanpa perlu membuat temu janji.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, dalam masa sama Pejabat MAINJ daerah juga mengadakan pejabat bergerak masuk ke kampung untuk memudahkan pembayaran zakat fitrah.

“Sebelum ini umat Islam yang mahu bayar zakat fitrah perlu buat temu janji dengan pegawai MAINJ di pejabat daerah, tetapi sekarang Pejabat MAINJ dibuka seperti biasa.

“Orang ramai boleh membayar fitrah di Pejabat MAINJ tanpa temu janji,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, ketua kampung boleh menjemput pegawai MAINJ untuk ke kampung mereka dengan menetapkan satu tarikh dan masa bagi memudahkan penduduk berurusan.

Sebelum ini, pembayaran zakat hanya boleh dibuat secara dalam talian atau menerusi temu janji dengan MAINJ berikutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.