Alza langgar kedai kek

AKIBAT hilang kawalan ketika meletakkan kenderaan, kereta yang dipandu seorang wanita merempuh kedai kek dan roti di pasar raya di Sungai Dua dekat Georgetown, hari ini.

Tindakan wanita berusia 47 tahun itu menyebabkan beberapa pelanggan yang sedang beratur untuk memasuki pasar raya itu nyaris dilanggar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian berlaku pada 5.30 petang tadi.

Katanya, ketika kejadian, wanita yang memandu Perodua Alza itu melanggar kedai kek dan roti di pintu masuk pasar raya terbabit.

“Kenderaan itu nyaris melanggar pelanggan yang sedang beratur.

“Ia juga terlanggar sebuah troli dan terkena seorang daripada pelanggan yang sedang beratur namun lelaki itu tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Soffian berkata, wanita terbabit yang mengalami lebam di tangan dan kaki, kemudian dibawa ke pusat kesihatan berhampiran bagi rawatan lanjut.

“Wanita dari Gelugor itu juga didapati tidak mabuk ketika kejadian.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.