Alhamdulillah…

“ALHAMDULILLAH, ini hadiah paling indah untuk raya tahun ini, syukur sangat,” demikian luahan Mohamad Affandi Mohamed Jufri, 31.

Mohamad Affandi meluahkan rasa syukur itu selepas nasibnya bersama isteri, Siti Hajar Mohd Sharom, 25, dan anak tunggal mereka, Muhammad Haziq Hakimi, 5, yang hilang tempat berteduh mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru.

Menurut Mohamad Affandi, dia dihubungi JKM petang tadi yang mengambil inisiatif menghulurkan bantuan wang pendahuluan untuk kemasukan ke bilik sewa di Dataran Larkin, Johor Bahru, Johor.

“Selepas keluar daripada hotel pagi tadi, saya cuba ke Baitulmal untuk memohon bantuan tetapi tidak berjaya kerana pejabatnya sudah berpindah tempat.

“Disebabkan buntu, saya membawa anak dan isteri berehat di jejantas berhampiran Terminal Larkin.

“Daripada pagi hingga ke petang kami di situ kerana tiada arah tuju sehingga JKM menghubungi untuk membantu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohamad Affandi, dia tidak menjangkakan akan segera menerima bantuan daripada JKM.

“Bantuan ini sudah memadai dan terima kasih banyak (diucapkan) kepada JKM kerana membantu. Tidak lupa juga kepada mereka yang membantu ketika waktu susah selama ini. Hanya Allah saja dapat membalas kebaikan anda semua,” katanya.

Hari ini, portal Harian Metro melaporkan kisah Mohamad Affandi bersama tiga anaknya yang hilang tempat berteduh selepas tiba di Johor Bahru dari Segamat, petang kelmarin.

Tiga beranak itu dilaporkan ke Jerantut, Pahang pada awal Februari lalu sebelum ke Jengka dan akhirnya Kuantan.

Mohamad Affandi ke Kuantan untuk menjejaki ibu kandungnya yang terpisah sejak lahir tetapi usahanya itu tidak berhasil.

Lebih menyedihkan apabila lelaki itu sanggup berjalan kaki dari Jengka ke Kuantan bersama isteri dan anaknya tetapi dibantu bekas tentera, Zamri Osman, 38, yang menumpangkan mereka bertiga bermalam di rumahnya.

Zamri kemudiannya berkongsi kisah Mohamad Affandi menerusi Facebook miliknya.

Berita berkaitan:

  • Tiga beranak rayu tempat berteduh