‘Alhamdulillah… terima kasih semua’

UCAPAN terima kasih kepada semua pihak, hanya itu yang mampu diucapkan Mohamad Roshidy Elias, 36, kepada orang ramai atas sumbangan kilat sejurus kisah mengenai kesusahan keluarganya tular di media sosial sejak semalam.

Keluarga Mohamad Elias mendapat perhatian warganet kerana tinggal di bilik sewa yang serba kekurangan di Jalan Dr Lim Chwee Leong, dekat Georgetown, bersama isteri, Nur Hafizah Mohamad, 36, dan enam anak berusia dua hingga 14 tahun yang masih bersekolah.

Mohamad Roshidy berkata, selepas kisahnya tular, ramai yang menghubunginya serta tampil ke rumah memberi sumbangan makanan dan keperluan lain.

Katanya, mereka sudah keputusan makanan sejak beberapa hari lalu dan dia mengadukan masalah itu kepada badan bukan kerajaan (NGO) Wanita Prihatin bagi memohon sedikit sumbangan keperluan asas sebelum kisah mengenainya ditularkan.

“Selain menawarkan bantuan, ramai yang menghubungi saya dengan memberi kata semangat serta mendoakan kesejahteraan keluarga kami.

“Saya difahamkan ada beberapa pihak akan meneliti bantuan lain yang sesuai selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tamat, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Roshidy adalah penerima bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan menggunakan wang berkenaan sebaiknya dengan membayar sewa bulanan bilik.

Manakala pendapatannya sebanyak RM44 sehari sebagai pembantu kedai makan pula digunakan bagi membeli keperluan harian.

“Namun saya memohon supaya sumbangan kepada keluarga kami dihentikan kerana ia sudah cukup bagi kegunaan kami sekeluarga sepanjang tempoh ini.

“Bukan tak sudi, tetapi ramai lagi di luar sana yang senasib dengan kami serta memerlukan sumbangan yang sama dan diharap sumbangan ini dapat diberi kepada mereka juga,” katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan