‘Alah bisa, tegal biasa’

PERIBAHASA ‘alah bisa, tegal biasa’ sesuai menggambarkan keadaan Pegawai Bomba Kanan 11 Anis Fadila Zakaria, 38, yang sudah lali apabila terpaksa bertugas ketika Aidilfitri.

Sepanjang 19 tahun berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Anis Fadila yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan memaklumkan hanya sekali sahaja dia dapat beraya bersama keluarga di kampung.

Menurut Anis Fadila, suaminya, Yusmizan Yusof, 40, yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan turut bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus.

“Kami berkenalan ketika sama-sama bertugas di BBP Kuala Terengganu dan berada dalam bidang yang sama menyukarkan untuk kami bercuti serentak.

“Sepanjang perkahwinan kami, hanya sekali kami sekeluarga ‘lengkap’ dan dapat beraya bersama-sama di kampung, manakala selebihnya sama ada seorang bekerja di hari raya.

“Biasanya, ibu di kampung akan datang dan ambil lima orang berusia antara tujuh hingga 17 tahun untuk beraya atau kami hantar mereka ke kampung.

“Bagaimanapun, tahun ini sambutannya memang berbeza sama sekali dan anak-anak juga terpaksa duduk di rumah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Rakan setugasnya, Muhamad Faez Faqhira Sezali, 25, yang memulakan tugas di BBP Kuala Terengganu pada Disember tahun lalu tidak dapat menyembunyikan rasa sedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga.

Dia yang juga anak ketiga daripada empat beradik berasal dari Machang, Kelantan berkata, masakan rendang daging dan sate adalah menu wajib yang menjadi juadah pada hari raya.

“Ini kali pertama saya beraya tanpa keluarga dan memang sedih memikirkan keadaan ibu di kampung yang hanya beraya bersama abang memandangkan adik beradik yang bekerja di luar juga tidak boleh pulang,” katanya.

Perasaan sama turut dirasai seorang lagi anggota bomba, Mohamad Hakim Ismail, 26, dari Pasir Puteh, Kelantan yang merindui hidangan istimewa nasi himpit dan gulai itik hasil air tangan ibunya, Sepinah Hashim, 47.

“Ini tahun kelima saya bekerja pada hari raya pertama, jadi tidaklah rasa sedih sangat dan hanya panggilan telefon di malam atau pagi raya sedikit sebanyak dapat mengubati rasa rindu terhadap mereka.

“Walaupun tidak dapat beraya di Kelantan, saya masih boleh beraya di rumah keluarga isteri (Nadia Shafiza Mahari) di Ajil, Kuala Berang dan terubat sedikit rindu kepada kampung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, hanya 20 peratus daripada 836 pegawai dan anggota dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, ia membabitkan seramai 168 orang, manakala baki 80 peratus atau 668 orang lagi akan melakukan rondaan, pemantauan di kawasan rekreasi membabitkan air dan rondaan secara berkala oleh balai.

“Jika sebelum ini, tumpuan kita adalah rondaan di lebuh raya tetapi berdasarkan situasi semasa, tumpuan lebih diberikan kepada jalan utama dan negeri,” katanya.