‘Aidilfitri tak bermakna tanpa emak’

“AIDILFITRI kami tidak bermakna tanpa emak. Mungkin orang lihat kami adik beradik ceria tetapi dalam hati tiada siapa yang tahu rasa sedih, perit, terkilan dan trauma semua ada.

“Siapa yang boleh lupakan kejadian kejam yang berlaku pada ibu kandung sendiri hingga meragut nyawanya, malah mayatnya dibuang dalam parit,” luah Hawa Isa, 45, anak mangsa bunuh, Zaharah Khalid, 76.

Zaharah dilaporkan hilang, sebelum mayatnya ditemui anggota polis dalam keadaan separuh tenggelam dalam parit, 2 pagi, 4 Mei lalu.

Wanita warga emas itu dipercayai dipukul dan dipijak oleh suspek yang juga kenalan rapatnya sebelum mayatnya dibuang dalam parit di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan.

Hawa yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik itu mengakui kemeriahan Aidifitri tidak dirasainya selepas kehilangan ibu tersayang namun perayaan tetap disambut ala kadar bersama keluarga dan adik beradiknya yang lain.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan mereka yang tinggal berhampiran akan berkumpul bersama di rumah ibunya pada Aidilfitri dan disajikan hidangan wajib air tangan Zaharah iaitu sekaya dan lemang serta ketupat.

“Malah pada hari pertama berpuasa juga kami akan berkumpul dan bawa makanan masing-masing untuk berbuka bersama tetapi tahun ini tiada dan arwah emak juga tidak bertanya.

“Menjelang Aidifitri emak yang paling sibuk, dia mahu masak juadah raya sendiri dan tahun ini kami sudah tidak dapat merasa air tangannya lagi.

“Malah hari raya juga bagaikan hilang meriah tanpanya,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Teluk Penchalang, Manjung.

Hawa berkata, mereka tertanya-tanya punca sebenar suspek bertindak demikian kerana dakwaan mereka tidak menghormati suspek tidak benar,malah dia dan adik-beradik lain tidak pernah mempunyai masalah dengan lelaki itu.

“Kami terasa seperti emak masih ada, setiap kali lalu dekat kawasan rumah suspek kami tak sanggup nak pandang kerana terbayang-bayang emak di situ.

“Kami terima takdir ini kerana mati itu pasti, cuma agak terkilan dengan cara kematian emak yang dipukul serta dipijak dan pelakunya pula adalah kenalan baik emak, orang yang kami kenal dari kecil,” katanya yang berharap suspek dikenakan hukuman sewajarnya.

Berita berkaitan:

  • Leher dijerut punca kematian

  • Kenapalah kejam sangat…