Aeon Mall Tebrau City akur tutup sementara

PUSAT beli-belah Aeon Mall Tebrau City, di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru akan meningkatkan tahap Standard Prosedur Operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas beroperasi semula pada 2 Jun nanti.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook, Aeon Mall Tebrau City menyatakan pihaknya diminta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk ditutup sementara waktu bermula semalam hingga 1 Jun ini.

Menurutnya, KKM meminta pihak pengurusan untuk meningkatkan dan mengambil langkah lebih berjaga-jaga dalam memastikan kawalan orang ramai dan penjarakan sosial.

“Kami berjanji akan memberi sepenuh komitmen bagi mematuhi SOP PKPB yang digariskan dan akan berkerjasama dengan pihak berkuasa berhubung hal ini.

“Terima kasih atas sokongan pelanggan, kami amat menghargainya dan akan memaklumkan kepada pelanggan sebaik saja kami beroperasi.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan berterima kasih atas kesabaran dan kerjasama anda,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di sekitar pusat beli-belah itu mendapati semua pintu masuk ke tempat letak kereta juga ditutup.

Terdapat juga beberapa pengunjung terutama warga asing yang datang kerana tidak mengetahui ia ditutup sementara waktu.

Semalam, KKM mengarahkan sebuah pusat beli-belah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru ditutup seminggu.

Notis arahan penutupan premis oleh KKM itu turut tular di media sosial sejak petang semalam.

Notis berkenaan antara lain memaparkan arahan penutupan premis berkenaan dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula dari jam 4 petang 25 Mei 2020 sehingga 1 Jun 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan