Ada penuntut universiti mula tertekan

TIDAK tahan berada di kampus dan rumah terlalu lama, ada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menghubungi talian khidmat kaunseling untuk meredakan tekanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, justeru pihaknya menggesa pengurusan institusi pengajian tinggi di negara ini memberi perhatian kepada perkara itu yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada mahasiswa.

Katanya, dengan PKP yang masih belum dapat dipastikan pengakhiran, ada sebilangan pelajar yang mula menunjukkan tanda-tanda tekanan, risau dan kemurungan.

“Ada penuntut yang buat panggilan untuk dapatkan perkhidmatan kaunseling atas talian.

“Perkara ini terjadi pada mereka yang masih terkandas di kampus mahupun berada di rumah. Kita mengambil maklum mengenai kebimbangan pelajar terhadap kesihatan mental mereka ketika PKP dijalankan.

“Setakat ini maklumat yang diperolehi menunjukkan jumlah pelajar yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling atas talian ini semakin meningkat sepanjang PKP ini,” katanya.

Menurutnya, MPPK memohon kepada semua institusi untuk memberi perhatian terhadap kesihatan mental pelajar, lebih-lebih lagi kepada mereka yang terjejas.

Katanya, setiap IPT boleh menggunakan khidmat kaunseling yang ada untuk membantu pelajar.

“Pusat panggilan atau talian perkhidmatan kaunseling juga boleh diwujudkan untuk memudahkan pelajar mendapatkan khidmat kaunseling secara atas talian.

“MPPK juga menyarankan semua IPT untuk mengambil inisiatif dengan menganjurkan program yang menarik serta bermanfaat secara atas talian kepada pelajar yang masih berada di kampus supaya mereka dapat mengisi masa lapang selain mengikuti pembelajaran atas talian yang dilaksanakan,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada setiap IPT yang menyediakan khidmat kaunseling bagi memastikan kesihatan mental pelajar terjaga sejak PKP dilaksanakan.

Katanya, MPPK juga berharap semua pihak boleh berganding bahu bagi memastikan tiada lagi pelajar yang akan mengalami masalah kesihatan mental ekoran perubahan rutin harian mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan