9 mengaku ingkar PKP

AKIBAT berpesta sehingga menimbulkan gangguan di kawasan kejiranan, sembilan individu termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Individu berusia 19 hingga 43 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan, Fendi Sandana, 18; Kamaruddin Yusuf, 19; Mohd Usman Jamal, 23; Asri Basri, 26; Amir Kahar Diari, 29; Nuramira Sikin Romel, 21; Nor Azlin Erdawati Surtoyol, 20; dan dua lagi individu bawah umur secara bersama berhimpun di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Harmon, Kampung Tass di sini, pada 8.12 malam Sabtu lalu.

Semua tertuduh yang berasal dari sekitar daerah ini dan Kunak didakwa berkumpul dan melakukan aktiviti sosial ketika PKP sehingga menimbulkan bunyi bising selain mengganggu ketenteraman penduduk sekeliling.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan kesemua lima tertuduh lelaki menjalani hukuman empat bulan penjara manakala dua wanita menjalani hukuman dua bulan penjara.

Bagi kes remaja bawah umur, mahkamah menetapkan sebutan semula kes masing-masing pada 15 Mei depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana prosiding kes berkenaan tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Kanak-Kanak.

Sementara itu di mahkamah sama, dua beradik warga asing dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan empat hari penjara, jika bayar denda penjara dua bulan, selepas mengaku bersalah ingkar PKP Sabtu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran bersama Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Dayang Nor Azarinawaty Ag Kachee, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan