9 lagi inisiatif untuk rakyat Pahang

KERAJAAN negeri mengumumkan tambahan sembilan lagi inisiatif bagi fasa tiga membabitkan peruntukan RM2.156 juta kepada 34,376 penerima yang terkesan dengan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19 di Pahang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu membabitkan sumbangan lima kilogram beras setiap orang yang bakal diterima 21,000 individu di 14 Parlimen di negeri itu dengan jumlah keseluruhan RM304,500.

Menurutnya, sumbangan wang tunai sebanyak RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 426 orang dalam kalangan pemandu pelancong semula jadi Taman Negara, pemandu pelancong biasa dan pemandu bot pelancong Taman Negara dengan nilai peruntukan RM63,900.

“Bantuan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 3,500 Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah Program Ziarah Prihatin yang keseluruhan berjumlah RM175,000.

“Sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 bagi setiap KIR membabitkan 2,200 KIR di seluruh Pahang dengan nilai peruntukan RM440,000.

“Selain itu, sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 70 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang membabitkan 3,500 penerima dengan peruntukan RM525,000.

“Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 62 Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan Kampung Baharu (JKKKB) membabitkan 3,100 penerima berjumlah RM465,000,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan hari ini.

Wan Rosdy berkata, seramai 650 mahasiswa dan mahasiswi anak Pahang yang tinggal di kampus masing-masing disebabkan PKP akan menerima wang tunai RM150 setiap orang dengan peruntukan RM97,500.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi bantuan pengurusan RM5,000 kepada setiap 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi m nguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada KIR yang berjumlah RM55,000.

“Sumbangan RM30,000 sebagai membantu usahawan mikro ‘e-hailing’ khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP,” katanya.

Wan Rosdy berkata, dengan sembilan inisiatif terbaharu itu dan 13 inisiatif yang diperuntukan bagi fasa pertama dan kedua sebelum ini menjadikan keseluruhan nilai peruntukan ialah RM21.404 juta yang membabitkan 136,074 penerima.

“Semoga 22 inisiatif ini akan dapat membantu rakyat dalam kalangan pelbagai kaum, usia dan kerjaya yang terjejas sepanjang tempoh PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan