88 pelajar UMK tak pulang

SERAMAI 88 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memilih untuk tinggal di kampus dan rumah sewa masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, daripada jumlah itu 50 memilih kekal di kampus dan 38 di rumah sewa.

Katanya, keputusan dibuat pelajar terbabit atas beberapa sebab tertentu termasuk tinggal di pedalaman.

“Mereka berasal dari Sabah dan Sarawak serta pelajar antarabangsa dan setakat ini kami dapat menampung keperluan mereka, namun sekiranya tempoh PKP dilanjutkan, kami bimbang tidak mampu untuk menanggungnya lagi.

“Sepanjang PKP ini, 950 daripada 1,000 penuntut UMK sudah pulang ke rumah masing-masing selepas kerajaan mengumumkan keputusan membenarkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) pulang secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Pejabat NSTP, Kota Bharu.

Hadir sama, Presiden Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi dan Timbalan Presidennya, Zabidi Ishar.

Noor Azizi berkata, sebab lain pelajar terbabit tidak mahu pulang kampus adalah atas alasan peribadi selain capaian Internet yang agak lemah terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Ketika PKP, sistem pembelajaran negara mengalami perubahan dan normal baharu bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran secara maya.

“Namun ia sebenarnya bukan perkara baharu, kerana pembelajaran secara maya sudah bermula sejak 2015 lagi, tetapi tidak digunakan pakai sepenuhnya kerana masih ada pilihan, bagaimanapun dalam keadaan sekarang ia menjadi pilihan supaya mereka tidak ketinggalan.

“Sekiranya penuntut kita berhadapan dengan masalah capaian Internet yang lemah dan mempunyai masalah kewangan untuk membeli data Internet, kami akan bantu, namun bagi kawasan yang tidak mempunyai liputan langsung, bahan pembelajaran terpaksa dihantar kepada mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan