8 laluan ke bandar Kajang ditutup

PENUTUPAN kekal lapan laluan ke bandar Kajang bermula tengah malam tadi bertujuan mengehadkan perjalanan orang ramai supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-2 dalam usah membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya juga turut menambah tiga sekatan jalan raya menjadikan jumlah sekatan jalan raya di daerah ini kepada 10.

Katanya, setakat ini, kadar pematuhan orang ramai terhadap arahan PKP di daerah ini pada tahap kira-kira 95 peratus.

“Tujuan penutupan lapan laluan ini bagi mengehadkan perjalanan orang ramai supaya mematuhi arahan PKP fasa ke-2 bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Berdasarkan tinjauan dilakukan hari ini mendapati tidak banyak kenderaan masuk ke bandar Kajang dan kebanyakan mereka melalui jalan ini adalah individu terbabit perkhidmatan penting negara,” katanya ketika ditemui ketika melakukan tinjauan penutupan jalan di sekitar bandar Kajang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Dzaffir berkata, seramai 130 individu yang ingkar arahan PKP di daerah ini ditahan sejak 18 Mac lalu sehingga semalam.

“Daripada jumlah itu, 30 individu sudah dituduh di mahkamah dan sebanyak 52 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkenaan.

“Semua individu yang ditahan itu disiasat mengikut Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lapan laluan ke bandar Kajang ditutup secara kekal bagi tempoh 24 jam bermula 12 tengah malam tadi hingga 14 April nanti.

Laluan terbabit adalah Jalan Sungai Chua-Susur Terowong KTM, Jalan Reko-MRT, Jalan Cheras- Jalan Timur (depan Masjid Jamek Kajang), Jalan Semenyih-Jalan Low Ti Kok, susur turun ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impian, Jalan TTDI Grove 1/1, Persiaran Saujana Impian-Jalan Melor 1, Jalan Sungai Kantan dari arah Desa Jenaris dan dari arah Persiaran Saujana Impian serta sempadan Bandar Seri Putra- Nilai 3.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan