8 kakitangan kilang direman buat tuntutan palsu [METROTV]

LAPAN kakitangan kejuruteraan termasuk dua pengurus kilang anak syarikat milik kerajaan Kedah direman tujuh hari bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu dianggarkan bernilai lebih RM186,000.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar Rashidah Azmi bermula hari ini hingga 20 Mei.

Kesemua suspek berusia antara 39 hingga 45 tahun disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, mereka yang berpakaian biasa diiringi pegawai dan anggota SPRM, tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar, kira-kira 10 pagi.

Difahamkan, suspek ditahan di Kulim Hi-tech dan pejabat SPRM negeri antara 10.30 pagi semalam hingga 10 malam tadi.

Mereka dipercayai berpakat bersama syarikat pembekal bagi mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan alat ganti mesin berjumlah lebih RM186,000 dan kesalahan didakwa dilakukan antara Ogos hingga Oktober 2019, namun tiada alat ganti dibekalkan kepada kilang.