7,606 penuntut IPT sudah pulang ke Sarawak

SERAMAI 7,606 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dari Sarawak di Semenanjung sudah dibawa pulang, semalam.

Penuntut IPT yang rata-rata dari Kuching, Bintulu, Miri, dan Sibu juga sudah menjalani ujian saringan kesihatan yang ketat sebelum dibenarkan pulang ke Sarawak.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibbollah berkata, dalam proses pelepasan, penjarakan sosial antara penuntut juga sangat diutamakan mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Soal kesihatan dan keselamatan penuntut dan kru penerbangan sememangnya sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

“Kementerian juga ingin menasihati ibu bapa dan penuntut untuk terus mematuhi prosedur yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama dalam mencegah penularan wabak Covid-19

dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya terus mematuhi PKPB yang dikuatkuasakan sehingga 9 Jun ini.

“Kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang selamat untuk melakukan penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Malah, mereka juga menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki bas yang sudah disanitasi untuk dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Beliau berkata, selepas tiba di Sarawak, penuntut IPT ini juga diminta dikuarantin di tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan