70 rumah dinaiki air ketika sahur [METROTV]

HUJAN lebat berpanjangan hampir 12 jam sejak petang semalam mengakibatkan kira-kira 70 rumah di Taman Slim Permai, Slim River dilanda banjir kilat, hari ini.

Kebanyakan rumah mula dinaiki air pada 3.30 pagi dipercayai disebabkan aliran air longkang tidak dapat keluar ke lombong sebelum masuk ke dalam sungai.

Selain itu, pada masa sama paras air Sungai Balun dan Sungai Slim juga naik secara mendadak menyebabkan aliran air tidak berjalan lancar.

Penduduk, Zaidin Abas Khairudin, 57, berkata air mulai masuk ke rumahnya pada 4 pagi tetapi dia sempat menyelamatkan barang penting ke tingkat atas kediamannya.

Katanya, banjir kilat ini juga dipercayai berlaku disebabkan hujan lebat tanpa henti sejak petang semalam di kawasan ini.

“Ini kali ketiga berlaku banjir kilat sepanjang saya tinggal di kawasan perumahan ini kira-kira 15 tahun lalu, dan kejadian banjir ini memang saya tidak sangka berlaku.

“Air naik setinggi kira-kira 0.5 meter pagi tadi dan saya tetap berjaga-jaga sebab hujan masih renyai-renyai di kawasan ini,” katanya ketika ditemui.

Penduduk lain Farhan Ramli, 25, berkata dia berada di rumah ibunya di Kampung Air Itam, Teluk Intan ketika kejadian.

Katanya, selepas bersahur, dia menghubungi jiran yang memaklumkan kawasan perumahan mereka dilanda banjir kilat.

“Terkejut bila sampai rumah bersama isteri melihat keadaan rumah yang dipenuhi air di luar dan dalam kerana sejak menyewa di sini, inilah kali pertama terbabit banjir kilat.

“Inilah dugaan bulan Ramadan dan saya bersama isteri reda serta cuba menyelamatkan barang-barang yang masih boleh dipakai,” katanya.

Keadaan banjir kilat yang berlaku di Taman Slim Permai, dekat Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Keadaan banjir kilat yang berlaku di Taman Slim Permai, dekat Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.