6,538 individu di Sabah masih dipantau

SERAMAI 6,538 individu di Sabah masih berada di bawah pemantauan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,567 kontak rapat sedang menjalani pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Manakala 971 kontak rapat sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari setakat semalam.

“Semua pemantauan ini dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

“Selain itu, 809 individu masih ditempatkan di 23 pusat kuarantin seluruh negeri termasuk dua pusat kuarantin baharu di Institut Latihan Kementerian Kesihatan, Tawau dan Asrama Linawa Kompleks Sukan Ranau manakala lapan orang sudah dibenarkan pulang,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dr Christina berkata, sebanyak 1,600 sampel sudah diambil daripada penduduk Pulau Gaya menerusi Program Kawalan dan Pencegahan Penyakit Covid-19 bermula 28 hingga 30 Mac.

Beliau berkata, lebih 65 peratus penduduk di pulau itu sudah menjalani pemeriksaan.

Sementara itu, Dr Christina menyatakan empat kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah, semalam.

“Pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes bagi negeri ini ialah 201 kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19