6 rakan mangsa lemas direman

ENAM lelaki termasuk pelajar sekolah yang ‘main air’ di Sungai Segamat dekat Kampung Tengah, Segamat semalam, ditahan reman kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, semua mereka berusia antara 14 hingga 20 tahun ditahan kira-kira 12 tengah malam di rumah masing-masing di kampung berkenaan.

Sebelum itu, seorang daripada rakan mereka dikenali Norhaikal Ahmad, 17, ditemui lemas di Sungai Segamat hari ini.

“Tindakan mereka mandi sungai semalam dengan seorang daripadanya lemas, tetap melanggar PKP dan mereka disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya,” katanya hari ini.

Raub berkata, pihak mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja ingkar PKP yang memasuki fasa kedua hingga 14 April.

Beliau berharap penduduk memberi kerjasama dengan sentiasa duduk di rumah dan menyalurkan maklumat jika melihat pihak melanggar PKP dengan menghubungi 07-9312222 atau balai polis berhampiran sekitar Segamat.

Berita berkaitan:

  • Remaja ditemui lemas di Sungai Segamat