6 normal baharu kebersihan di Pahang

ENAM normal baharu kebersihan diperkenalkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dengan kerjasama kerajaan negeri berikutan penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda berkata, normal baharu itu diharap menyuntik semangat dan memperkasakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pelaksanaan itu juga mampu memelihara kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat seterusnya menjamin kelestarian alam sekitar secara menyeluruh.

“Yang pertama ialah mengamalkan budaya kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan dan menggunakan cecair pensanitasi tangan.

“Kedua, masyarakat perlu mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka bagi yang bergejala, ketiga (mengurangkan penjanaan sisa makanan dan pengasingan sisa pepejal).

“Keempat ialah menghargai makanan dan mengelakkan pembaziran, kelima (menggunakan bekas makanan dan beg guna semula ketika membeli barang keperluan dan keenam merancang pembelian dan mengamalkan budaya dengan menjual barangan yang boleh dikitar semula,” katanya.

Abd Rahim Muda (tengah) bersama pegawai agensi kebersihan termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selepas sidang media Norma Baharu Kebersihan negeri Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Abd Rahim Muda (tengah) bersama pegawai agensi kebersihan termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selepas sidang media Norma Baharu Kebersihan negeri Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Abd Rahim berkata demikian pada sidang media Normal Baharu Kebersihan Pahang di SWCorp negeri di Kuantan hari ini.

Hadir sama, Pengarah SWCorp negeri Sharudin Hamid.

Beliau berkata, semua petugas kebersihan membabitkan syarikat konsesi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan diwajibkan mengamalkan pelindungan diri dengan memakai pelitup muka, sarung tangan dan penjarakan sosial di lokasi pembersihan.

Menurutnya, pelaksanaan sanitasi kenderaan di depo sebelum masuk dan keluar ke lokasi pembersihan perlu dilakukan.

“Oleh itu, kita meminta semua masyarakat mengambil tanggungjawab untuk membudayakan kebersihan dan normal baharu yang digariskan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19