55 penduduk PKPD Simpang Renggam positif

SERAMAI 55 penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Simpang Renggam disahkan positif Covid-19 sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia berdasarkan 1,445 ujian Rapid Test Kit (RTK) dijalankan terhadap penduduk di kawasan PKPD berkenaan.

Katanya, setiap individu yang didapati positif akan diwajibkan untuk menjalani ujian calitan (swab).

“Berhubung pelaksanaan PKPD di Simpang Renggam, Kluang yang bermula pada 26 Mac lalu, maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merekodkan sebanyak 201 kes positif Covid-19 dan tiga kematian setakat ini.

“Di Mukim Ulu Benut membabitkan Bandar Baru Datuk Ibrahim Majid mencatatkan 163 orang positif Covid-19, diikuti Kampung Datuk Ibrahim Majid (2); Parit

Penghulu (4); Taman Seri Bayu (3); Parit Salleh (4) dan dua lagi kawasan, iaitu Taman Suria dan Taman Berjaya, masing-masing dengan seorang yang disahkan positif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata PKPD di Simpang Renggam berada dalam keadaan terkawal dengan kadar pematuhan sehingga 98 peratus pada waktu siang, manakala malam pula mencatatkan pematuhan sebanyak 99 peratus.

“Tindakan penguatkuasaan secara rapi dijalankan menerusi sekatan jalan raya, pasukan pemantau, pasukan MPV dan Pasukan Snapcheck (lorong tikus)

supaya kesan positif pelaksanaan PKPD dapat dicapai.

“Jumlah kekuatan anggota penguat kuasa yang membabitkan pelbagai agensi ialah seramai 231 orang,” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, kerajaan Johor juga membuat keputusan untuk tidak meneruskan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini sepanjang bulan puasa ini.

“Keputusan ini adalah selaras dengan saranan kerajaan Persekutuan untuk tidak menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini.

“Keputusan itu sebagai langkah kawalan terhadap kemungkinan berlaku penularan wabak Covid-19 akibat kontak rapat, sekali gus mengundang risiko lebih besar kepada pengunjung dan rakyat.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri menggalakkan peniaga untuk menjalankan perniagaan masing-masing secara dalam talian yang juga peluang bagi peniaga untuk meneroka potensi pasaran yang amat luas secara dalam talian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan