53 didakwa langgar PKP

SERAMAI 53 individu termasuk wanita dan remaja bawah umur didakwa di beberapa mahkamah di dua negeri hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melepak dan berhimpun.

Mereka didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dalam kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Di Kuala Lumpur, 38 individu didakwa di tiga mahkamah di sini.

Di Mahkamah Majistret Kajang, 25 didakwa atas kesalahan PKP. Seramai 15 lelaki dan dua wanita berumur antara 23 hingga 31 tahun dijatuhi hukuman penjara 14 hari kerana melepak beramai-ramai di dalam sebuah kondominium.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memerintahkan hukuman terhadap 17 tertuduh itu bermula dari tarikh tangkap mereka pada 3 April lalu manakala hukuman ke atas dua remaja perempuan berumur 17 tahun yang turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama ditangguhkan kepada 14 Mei sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mereka dibebaskan dengan jaminan RM500 dan seorang penjamin. Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit di Kondominium Amerin, Taming Jaya, di sini, pada 12.35 tengah hari, 3 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kesemua mereka hanya berkumpul beramai-ramai untuk ‘lepak minum’ tanpa sebarang alasan munasabah.

Sementara itu, enam lelaki berumur antara 34 hingga 48 tahun turut dipenjara 14 hari atas kesalahan berada di kawasan jangkitan wabak tanpa alasan munasabah dan penjara 14 hari kerana minum minuman keras di tempat awam.

Muhammad Noor Firdaus memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 2 April lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Taming Sari 1, di sini, pada 11.30 malam, 2 April lalu dan bagi pertuduhan minum minuman keras, mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250 atau penjara sehingga 14 hari.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pemilik premis perniagaan menjual kad tambah nilai Azizul Mohd Khairi, 46, didenda RM1,700 atau penjara dua bulan kerana melanggar arahan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan membuka premis yang bukan perkhidmatan perlu serta menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda RM700 atau penjara sebulan bagi kesalahan membuka kedai manakala denda RM1,000 atau penjara sebulan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Azizul Telecommunications di Cheras di sini, pada 10.30 malam, 1 April lalu.

Di mahkamah sama, tiga lelaki, M. Paramaguru, 22, B. Govinraj, 23 , dan P. Povarasan, 23, masing-masing didenda RM900 atau penjara sebulan selepas mengaku salah atas pertuduhan ingkar PKP dengan berkumpul di parkir bertingkat, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, di sini, pada 4.10 pagi, 6 April lepas.

Di Mahkamah Majistret Ampang, sembilan individu termasuk dua wanita, berumur antara 24 hingga 40 tahun dipenjara dan didenda selepas mereka mengaku bersalah bergerak dari satu kawasan jangkitan ke tempat jangkitan lain.

Mahkamah memerintahkan tiga lelaki termasuk seorang wanita warganegara Indonesia dipenjara sebulan, tiga individu termasuk seorang wanita didenda RM700 atau penjara sebulan manakala tiga lagi lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia didenda RM600 atau penjara sebulan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ampang Desa; Bandar Baru Ampang; Jalan Enggang, Taman Keramat; sekatan jalan raya Ops COVID-19 di Jalan Kampung Klang Gates antara 28 Mac dan 4 April.

Di Perak, 15 individu termasuk seorang petugas barisan hadapan di sebuah hospital di ibu negara mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh di sini kerana berhimpun di mana-mana kawasan jangkitan bagi maksud kegiatan sosial di sebuah rumah di Jalan Casa Lapangan 2, Taman Casa Lapangan di sini pada 2.50 pagi, 5 April lalu.

Majistret Nabihah Mohd Noor memerintahkan semua tertuduh yang berumur antara 19 hingga 38 tahun didenda RM1,000 setiap seorang atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sembilan daripada tertuduh adalah lelaki, dua wanita dan empat wanita warga Indonesia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan