50 kali gajah liar ceroboh Kampung Gol

KETIKA penduduk masih dalam suasana hari raya, gajah liar juga mengambil kesempatan untuk ‘menziarah’ Kampung Gol, Mukim Tembeling Tengah, Jerantut dengan menceroboh tanaman dan mendekati kediaman penduduk malam tadi.

Kejadian berlaku pada 9.30 malam itu mengejutkan beberapa orang penghuni yang sedang beristerehat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Gol, Abu Jamil Awang Mahmud berkata, kehadiran seekor gajah jantan liar itu mengejutkan penduduk di situ malah tidak menyangka haiwan liar itu datang semula selepas beberapa bulan yang lalu.

“Apa yang kami lihat gajah ini hanya mempunyai sebatang gading sahaja menceroboh kawasan tanaman milik tujuh orang penduduk di sini yang kebanyakannya kebun mereka terletak berdekatan dengan rumah.

“Haiwan liar ini merosakkan sebanyak 15 pokok sawit, lapan pokok kelapa, enam batang pinang dan selebihnya tanaman pisang. Ada sebahagian pelepah dan daun kelapa serta pokok pisang dipatah dan makan,” katanya.

Menurut Abu Jamil, walaupun sebelum ini penduduk kampung sudah menggunakan pelbagai kaedah, seperti memasang lampu khas yang diberikan olehJabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta memasang mercun tetapi tidak berkesan.

“Malah penduduk di situ ada mencadangkan kepada kerajaan menerusi PERHILITAN supaya menangkap serta memindahkan gajah liar itu ke kawasan santuari di tempat lain.

“JKKK juga ada membuat permohonan kepada kerajaan untuk projek membina pagar elektrik sejauh 20 kilometer dan berharap diluluskan segera untuk menghindarkan pencerobohan gajar liar ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir turut membuat tinjauan ke kawasanyang dirosakkan oleh gajah berkenaan hari ini.

Mohd Zakhwan, berkata, beliau sudah pun menghubungi petugas PERHILITAN untuk memantau pergerakan haiwan liar itu supaya masuk ke dalam hutan semula.

“Berasaskan aduan penduduk sejak tahun lalu, gajah liar itu sudah 50 kali menceroboh ke Kampung Gol dan Penempatan Orang Asli Sungai Tiang berdekatan termasuk menghampiri kediaman serta merosakkan tanaman mereka.

“Kita sudah memaklumkan kejadian itu kepada kerajaan negeri dam berharap penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi memastikan keselesaan penduduk di perkampungan pesisir Sungai Tembeling melakukan kegiatan harian.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengambil berat apabila aduan disampaikan kepada kerajaan negeri. Begitu juga dengan PERHILITAN yang bertungkus lumus tanpa mengira siang dan malam menggunakan pelbagai kaedah untuk membendung atau mengurangkan ancaman gajah liar di kampung tersebut.