5 kontena haram buangan bahaya

CUBAAN membawa masuk lima kontena mengandungi bateri asid plumbum terpakai yang dikategori buangan berbahaya, berjaya digagalkan susulan kerjasama dua hala Malaysia-Australia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada kerajaan Australia menerusi kedutaannya di Malaysia mengenai kontena import itu pada 30 Mac lalu.

Katanya, bateri asid plumbum terpakai diklasifikasikan buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai Buangan Terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Kita segera melakukan siasatan di Pelabuhan Klang dan semakan ke atas penerima (consignee) turut mendapati alamat yang dinyatakan dalam rekod penghantaran adalah palsu.

“Penghantaran dilakukan tanpa kelulusan JAS sebagai Pihak Berkuasa Konvensyen Basel bagi Malaysia yang mana ia diklasifikasikan sebagai pengimportan haram seperti Artikel 9, Konvensyen Basel,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JAS sudah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada syarikat perkapalan untuk menghantar pulang semua kontena tersebut ke negara asal iaitu Australia.

“Penahanan kontena dilakukan bersama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Westport Sdn Bhd,” katanya.