3,511 ketua isi rumah Orang Asli terima bekalan makanan

SERAMAI 3,511 Ketua Isi Rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di beberapa negeri hari ini mendapat manfaat bantuan pembekalan set bakul makanan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dalam satu kenyataan hari ini, KPLB maklumkan agihan bantuan itu antaranya diberikan kepada empat lokasi di Pahang iaitu Kampung Orang Asli (KOA) Sg Tementong , KOA Sg Garam, KOA Sg Mutan dan KOA Sg Sekin.

KOA lain di Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor, Gua Musang di Kelantan, Jempol di Negeri Sembilan serta Hulu Selangor, Hulu Langat dan Kuala Langat di Selangor.

Menurut KPLB, bantuan di empat lokasi di Pahang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, dengan nilai barangan yang diberikan kepada setiap ketua isi rumah sebanyak RM100 dan turut ditambah dengan kit kebersihan seperti antiseptik, penutup hidung dan mulut, sabun berubat serta tambahan susu tepung untuk kanak-kanak.

“Cara agihan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melalui Tok Batin atau penghulu setiap kampung dan turut dipantau oleh Pegawai JAKOA Daerah bagi memastikan agar bantuan sampai kepada setiap ketua isi rumah yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

KPLB melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan sejak berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu melalui JAKOA.

Agihan Bantuan Bakul Makanan fasa kedua bermula semalam dan dijangka dapat diselesaikan pada 20 April depan membabitkan 55,000 ketua isi rumah di 853 kampung di seluruh negara.