300 pindah ke hotel jalani kuarantin

TIGA ratus individu yang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Bubul Ria di Semporna, menarik nafas lega selepas mereka dipindahkan ke Hotel Seafest, semalam.

Pegawai Daerah Semporna Benedict Asmat berkata, mereka adalah warga Sabah yang baru pulang dari Semenanjung dan Kota Kinabalu, termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, daripada jumlah itu, 137 adalah lelaki, 116 wanita, 20 kanak-kanak lelaki, 14 kanak-kanak perempuan, sembilan bayi lelaki dan empat bayi perempuan.

“Langkah memindahkan penghuni di pusat kuarantin ke hotel adalah atas inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang prihatin dengan rungutan dan keluhan rakyat,” katanya dihubungi hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin melalui akaun Facebooknya memuat naik satu rakaman video yang memaparkan keadaan di Pusat Kuarantin PPR Bubul Ria yang kurang memuaskan.

Bung Moktar turut mengkritik kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang terlepas pandang mengenai tahap kebersihan, keselamatan dan fasiliti di pusat kuarantin di Sabah.

“Tolong pastikan dulu keadaan di pusat kuarantin seluruh Sabah ada unsur-unsur keselamatan dan kesihatan, barulah masukkan mereka ke pusat kuarantin.

“Jangan buat keputusan tanpa mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19