30 anggota, pegawai pantau Pantai Miami

POLIS menempatkan 30 anggota dan pegawai di sepanjang laluan Pantai Miami hingga ke Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tindakan itu dilakukan berikutan orang ramai mengunjungi kawasan pantai berkenaan untuk melepak dan bersantai.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak membenarkan orang ramai berkumpul di kawasan pantai dan taman rekreasi bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Kita berharap orang ramai sentiasa mematuhi SOP PKPB ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mereka yang sengaja mengingkari perintah berkenaan boleh dikenakan kompaun.

“Sehingga kini, polis masih menggunakan pendekatan nasihat dan amaran secara lisan, namun jika orang ramai terus berdegil dan ingkar dengan PKPB ini, polis tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tinjauan Harian Metro selama tiga jam bermula 3 hingga 6 petang, hari ini mendapati tidak ada lagi kenderaan diletakkan di sepanjang laluan pantai berkenaan.

Kawalan secara statik dan rondaan berkala di sepanjang laluan empat kilometer itu turut disertai Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Portal Harian Metro semalam melaporkan hampir 200 orang mengunjungi kawasan pantai berkenaan untuk tujuan rekreasi dan bersantai sebelum diarah meninggalkan kawasan berkenaan kerana melanggar PKPB.