29 ditahan ingkar PKP

SETAKAT ini, sudah 29 individu di Daerah Barat Daya ditahan pihak berkuasa berikutan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, walaupun pelbagai amaran sudah dikeluarkan menerusi pelbagai platform, masih ada individu yang ingkar termasuk dalam kalangan terpelajar.

Katanya, jumlah berkenaan adalah termasuk penahanan jurutera kilang berusia 53 tahun, 7.30 pagi tadi.

Anbalagan berkata, lelaki itu ditemui sedang berjoging di tepi jalan berhampiran Taman Jajar, Sg Ara, Bayan Lepas, dekat sini.

“Anggota yang bertugas juga memberi beberapa amaran namun tidak dihiraukan lelaki itu serta terus melakukan aktiviti berkenaan.

“Berikutan ingkar dengan amaran itu, lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut,” katanya kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, lelaki terbabit mendakwa tujuan dia keluar rumah adalah untuk ke pasar pagi Sungai Ara, Bayan Lepas dalam keadaan berjoging.

“Jarak rumah lelaki itu dengan pasar berkenaan adalah kira-kira 500 meter dan ketika kejadian, dia dilihat memakai kemeja-T, kasut sukan dan berseluar pendek,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan