25 khatam al-Quran dalam talian

SERAMAI 25 kakitangan Perpustakaan Tun Abd Razak (PTAR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka menyertai majlis khatam al- Quran secara dalam talian sempena #WorldQuranHour di Kampus Alor Gajah, Lendu, hari ini.

Timbalan Ketua Pustakawan PTAR Melaka, Noor Hayati Abu Kassim berkata, sebelum ini mereka bertadarus di kediaman masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membolehkan kakitangan dan keluarga bertadarus dalam tempoh berkenaan, sekali gus meningkatkan syiar Islam.

“Bacaan serentak diadakan secara langsung walaupun membabitkan kakitangan di Kampus Jasin dan Kampus Bandaraya di Jalan Hang Tuah, Melaka.

“Konsep secara maya berkenaan antara normal baharu sepanjang pandemik Covid- 19 yang menekankan prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu patuhi dalam dunia pekerjaan dan perjalanan harian,” katanya.

Sebelum bacaan al-Quran, ceramah bertajuk ‘Kelebihan membaca al- Quran’ turut disampaikan pegawai agama kampus terbabit, Zaini Yazid yang turut mengetuai bacaan.