24 mat rempit dicekup

SERAMAI 24 remaja ditahan dalam operasi ‘Op Samseng Jalanan’ bagi mencegah kemalangan di Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil, Baling petang semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata operasi sekitar 5 petang itu di ketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, Inspektor Mohd Izad Mat Husin bersama 21 anggota berjaya menahan remaja berusia 16 hingga 20-an kerana menganggu pengguna jalan raya yang lain selain melakukan aksi yang berbahaya.

Beliau berkata, polis turut menahan dan memeriksa 37 motosikal yang tidak sempat dilarikan ketika mereka meloloskan diri dalam operasi itu.

“Polis sempat menahan 24 penunggang dan pembonceng sahaja kerana yang lain berjaya meloloskan diri ketika serbuan dilakukan.

“Namun kita berjaya menahan 37 motosikal termasuk yang ditinggalkan di situ dan membawa balik ke IPD untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 56 saman dikeluarkan termasuk tidak memakai topi keledar selain melakukan pelbagai kesalahan.

“Selain kesalahan tidak memakai topi keledar penunggang dan pembonceng juga tiada lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada insuran, cermin sisi dan di bawah umur.

“Kesemua motosikal di bawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Baling untuk pemeriksaan lebih lanjut termasuk mengesan pemiliknya,” katanya.

Syed Basri berkata walaupun sudah berulang kali memberi nasihat namun masih ada yang degil dan tidak menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Macam pesta berkerumun beramai-ramai sedangkan ia boleh mengundang bahaya apabila terjatuh dan terbabit dalam kemalangan.

“Malah ada remaja yang berani melakukan aksi bahaya untuk berlagak sesama mereka,” katanya.

Katanya, mereka juga dikompaun kerana melanggar Perintah 7(1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 ketikaPerintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana terbabit dalam perhimpunan.

Dalam satu kes lain seorang lelaki berusia 33 tahun di kompaun kerana kesalahan menganjurkan majlis jamuan raya di rumahnya di Taman Berlian, pada 6.35 petang semalam.

Syed Basri berkata, lelaki itu melakukan aktiviti kesalahan terlarang mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menganjurkan majlis jamuan raya bersama lima tetamu yang bukan ahli keluarganya.

“Lelaki berkenaan diberikan resit kompaun dan laporan itu dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Baling,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan