2,012 pelajar UTHM sudah pulang

UNIVERSITI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selesai menghantar pulang 2,012 pelajar yang terkandas di kampus dan rumah sewa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM, Prof Dr Afandi Ahmad berkata, pelajar itu menginap di semua kolej kediaman dan rumah sewa bagi kedua-dua kampus Parit Raja dan Pagoh.

“Proses penghantaran pelajar bermula 30 April dan berakhir pada 27 Mac lalu membabitkan tujuh zon iaitu zon selatan (343 orang), zon tengah 1 (267 orang), zon tengah 2 (163 orang), zon timur (346 orang), zon utara (192 orang), zon Sabah (343 orang) dan zon Sarawak (358 orang).

“Sebelum bertolak pulang pelajar diwajibkan menjalani saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi memastikan mereka sihat dan bebas daripada Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Afandi berkata, UTHM menggunakan puluhan bas, termasuk van dan kereta untuk menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing.

“Sebelum berangkat, semua kenderaan menjalani proses nyah kuman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Mereka turut melakukan proses sanitasi beg dan bagasi pelajar mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (TTP) yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata, perjalanan pulang pelajar juga dipantau rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, seramai 2,504 pelajar UTHM berada di kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh.

“Kebajikan mereka diuruskan dengan penuh integriti oleh petugas serta proses agihan makanan dilaksanakan secara berjadual di kolej kediaman termasuk Pelajar Tanpa Asrama (PTA) yang tinggal di rumah sewa,” katanya.