19,875 rakyat sudah pulang dari Singapura

Sejumlah 19,875 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sudah kembali ke negara ini, setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, mereka pulang sejak 4 Mac dan sudah menjalani proses saringan yang ketat sebelum dibenarkan masuk menerusi Tambak Johor atau Tanjung Kupang, Gelang Patah.

“Daripada jumlah itu, seramai 14,655 orang dikuarantin di pusat kuarantin, manakala 5,140 menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Sebanyak 11 individu dalam siasatan (PUI) dan 69 individu dalam pemantauan (PUS) dengan penyakit kritikal dimasukkan ke hospital untuk pemantauan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu,Vidyananthan berkata, kerajaan negeri sedar kebimbangan masyarakat yang perlu mendapatkan rawatan di klinik pakar di hospital kerajaan di negeri ini.

Bagaimanapun, waktu operasi klinik pakar masih sama dan tiada penambahan waktu operasi.

“Tiada klinik pakar yang ditutup bagi meneruskan kesinambungan perawatan pesakit luar/ klinik pakar, namun ia beroperasi dengan kawalan serta langkah pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pesakit hadir ke klinik pakar atau sebagai pesakit luar yang didapati bergejala akan dirujuk ke Kaunter Saringan Demam di Jabatan Kecemasan, manakala jumlah temujanji pesakit dihadkan kurang daripada 50 peratus berbanding biasa.

“Ia dilakukan dengan menukar tarikh temujanji atau menyertakan bekalan ubat mencukupi. Keseluruhannya 132,045 pesakit mengunjungi klinik pakar di 12 hospital sejak 1 Mac sehingga 30 April lalu,” katanya.

Mengenai murid yang perlu mengambil suntikan imunisasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, katanya, perkhidmatan itu dilaksana di Klinik Kesihatan atau Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan, secara berperingkat.