18 dikompaun rentas negeri semalam

SEBANYAK 18 kompaun dikeluarkan polis Selangor terhadap individu cuba merentas negeri, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu kompaun bagi kesalahan lain, semalam.

“Bagi pemantauan dilakukan semalam, kami memberi tumpuan di lokasi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengenal pasti individu melanggar arahan larangan rentas negeri.

“Kami mengeluarkan 18 kompaun bagi kesalahan rentas negeri dan satu kompaun untuk kesalahan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya menyedari ada segelintir individu yang cuba meloloskan diri untuk ke kampung halaman masing-masing dengan menggunakan jalan ‘tikus’.

“Kami sedar dan tahu lokasi laluan jalan ‘tikus’ yang digunakan segelintir pihak yang mahu mengelak diperiksa pihak berkuasa di lokasi SJR.

“Bagaimanapun, orang ramai diingatkan bahawa kami tahu mengenai kewujudan jalan ‘tikus’ berkenaan dan akan melakukan pemantauan berterusan di lokasi dikenal pasti terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempertingkatkan pemantauan Op Covid-19 berikutan masih ramai individu berdegil dan ingkar arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

“Sebelum ini, kerajaan sudah mengumumkan 15 kesalahan boleh dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 selaras dengan Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Antara kesalahan itu adalah merentas negeri, berhimpun serta berkumpul dengan maksud menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas hari raya pertama dan membawa lebih penumpang (tidak termasuk pemandu),” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKPB bagi Menurutnya, pematuhan arahan ini bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri, malah memastikan keselamatan serta kesihatan ahli keluarga dan semua orang terhindar daripada Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan