174 rumah ibadat bukan Islam dibuka 10 Jun

RUMAH ibadat bukan Islam di kawasan zon hijau dibenarkan dibuka semula pada 10 Jun depan.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini berkata, ia membabitkan 174 rumah ibadat di seluruh negara.

“Prosedur operasi standard (SOP) pembukaan rumah ibadat dalam zon hijau dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas dibentangkan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri pagi tadi.

“Mesyuarat bersetuju 174 rumah ibadat dibuka mengikut ketetapan SOP digariskan seperti bilangan maksimum 30 orang tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat.

“Tarikh pelaksanaan itu memberi ruang masa mencukupi kepada semua rumah ibadat diperakukan KPN bersama MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat persediaan sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Rumah ibadat dibenarkan dibuka adalah Hindu Sangam sebanyak 84 buah, Kristian Evangelical (64), Kristian Titular Roman Katolik (3), Sikh Gurdwara (8), Tao Daozhang (14) dan Budha Fo Guang Shan (1).

Menurut kenyataan itu, SOP disediakan itu menggariskan tatacara persediaan rumah ibadat antaranya jawatankuasa pengurusan hendaklah memastikan penganut faham dan patuh kepada garis panduan disediakan manakala penganut mempunyai gejala seperti demam, batuk, sesak nafas serta selesema tidak dibenarkan hadir.

“Penganut yang mempunyai masalah seperti kencing manis, kanser dan sebagainya tidak digalakkan hadir, penanda jarak wajib diletakkan di lantai dan penganut berusia 70 tahun ke atas serta kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

“Upacara perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan sehingga 31 Julai mengikut surat Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara bertarikh 12 Mei lalu.

“Bagi pengurusan kematian di rumah pula, kehadiran ahli keluarga terdekat hendaklah tidak melebihi 20 orang tertakluk kepada saiz keluasan rumah dan tiada upacara untuk memberi penghormatan terakhir,” kata kenyataan itu.

KPN akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelaras pelaksanaan pembukaan rumah ibadat di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Permohonan lain daripada badan-badan agama akan dibawa oleh pihak KPN kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk kelulusan dari semasa ke semasa.

“Kementerian mengingatkan semua pihak berkaitan termasuk badan-badan agama dan penganut mematuhi SOP. Kebenaran operasi akan ditarik balik serta-merta jika gagal mematuhi SOP terbabit.

“KPN akan melantik pegawai daripada Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk bersama-sama memantau pematuhan SOP oleh rumah ibadat, selaras Seksyen 3 Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan