15 pos kawalan di Masjid India [METROTV]

SEBANYAK 15 pos kawalan diwujudkan dalam kawasan Masjid India di Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setiap pos kawalan itu akan menempatkan seorang anggota polis dan seorang anggota tentera yang akan membuat kawalan serta rondaan.

“Ada 15 point (pos kawalan) diwujudkan di kawasan sekitar Masjid India yang dikawal seorang anggota polis dan seorang anggota tentera di setiap point.

“Selain itu, hanya ada satu laluan masuk iaitu melalui laluan berhampiran Menara City One dan laluan keluar pula berhampiran sebuah bank (di Masjid Jamek),” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di lokasi berkenaan, hari ini.

Turut hadir meninjau kawasan Masjid India adalah Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melihat persediaan pelaksanaan PKPD di lokasi terbabit.

Mazlan berkata, pihaknya juga melakukan pemasangan pagar kawat duri di sekitar kawasan Masjid India bagi memastikan kawalan keselamatan lokasi berkenaan selaras dengan pelaksanaan PKPD.

“Kami akan memastikan tiada pergerakan dalam kawasan PKPD sekali gus menjamin keselamatan penduduk dan petugas.

“Pada masa sama, kami mahu memastikan pelaksanaan PKPD di kawasan ini dapat dilaksanakan dengan lancar sepanjang tempoh penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengatur keanggotaan yang secukupnya untuk menguatkuasakan PKPD di Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion selain kawasan Masjid India.

“Setakat ini, situasi dalam keadaan terkawal dan kami amat mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan PKPD dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Covid-19.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 032115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

MAZLAN bersama Abdul Hamid meninjau kawasan sekitar Masjid India yang dikenakan PKPD. FOTO NSTP
MAZLAN bersama Abdul Hamid meninjau kawasan sekitar Masjid India yang dikenakan PKPD. FOTO NSTP

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan seluruh kawasan Masjid India dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa hari ini sehingga selesai.

Kawasan itu membabitkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang.

Bagaimanapun, pelaksanaan itu tidak membabitkan dua kawasan iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Bangunan PT 80.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan